Sunday, January 20, 2013

Diari Tahun Baru: Ajaran sesat..

Bismillah.

31/12/2012

Di tarikh ini Allah memberikan peluang buat hambaNya ini menyambut sambutan tahun baru masihi di Dataran Merdeka. Note: Dataran Merdeka. Bila disebut Dataran Merdeka dan Sambutan Tahun Baru, apa yang terbayang di ruang minda anda? Kalau saya, saya akan membayangkan suasana yang penuh sesak dengan orang ramai, dan di sana ada sebuah pentas khas yang menayangkan beberapa makhluk Allah yang sedang terkinja-kinja melompat melalak dan menyanyi. Maka, benarlah bayangan saya itu. 

Dan pada waktu itu, di situlah saya. Tetapi keberadaan saya dan sahabat-sahabat di situ pada tarikh itu, bukanlah untuk berpesta. Alhamdulillah, akal yang dikurniakan Allah ini masih sihat untuk menilai baik dan buruk. Dan kalau bertujuan meraikan tahun baru semata, lebih elok rasanya saya ke Shah Alam pada waktu itu. Tetapi kami berada di situ disebabkan ORKED 2013. 

Sempat jugalah kami mengedarkan beberapa risalah kepada mereka-mereka yang berada di situ. Edar risalah, nampak sahaja kacang, tapi sebenarnya susah. Walaupun ini bukanlah kali pertama, tapi tetap sahaja saya rasakan payah. Dan akhirnya, risalah-risalah di tangan saya kehabisan juga. Tetapi sedikit sesal, kerana sepatutnya kami cuba berborak atau beramah mesra dengan mereka, tetapi mulut ini susah untuk bertutur, tangan sahaja yang pantas bergerak. Respon mereka, pelbagai. Yang baik, alhamdulillah. Yang kurang, apa lagi mahu dikata. Yang paling tak tahan, ada yang men'transformasi'kan risalah yang kami edar itu menjadi tempat letak kulit kuaci. Tidak mengapalah, paling tidak ada juga jasa risalah itu. 

Selesai mengedar risalah, kami berkumpul di suatu tempat. Di situ, sempat juga kami ber'photoshoot'. Kenang-kenanganan, orang kata. Tidak lama kemudian, jelas kedengaran suara seorang remaja yang ditujukan kepada kami, " Ajaran sesaaat..." Ohh, pedih dan pilunya hati. Bukan sakit hati kerana dimaki. Tapi sakit hati kerana tidak tahu apa yang menjadi pertimbangan akal dan imannya. Ajakan ke Jalan Allah dikatakan ajaran sesat, sedangkan berpesta sakan bercampur perempuan dan lelaki tidak pula sesat. Jika sesat itu bermaksud terpesong dari jalan yang betul, seharusnya akal yang sihat ini sudah mampu menilai mana benar, mana salah.

Berada di sana, saya termuhasabah sendiri. Begini rupanya negaraku. Doaku, moga cepat-cepat Islam menang di Malaysia. 


Usai sahaja ORKED 2013, kami bergegas pulang. Tetapi disebabkan sudah lewat malam, kami tidak pulang ke kampus. Bimbang pula ditahan oleh Security. Masjid Syakirin KLCC menjadi tujuan. Di situlah kami bermalam. Jam 1 pagi, barulah mata dilelapkan. Tapi, tidur kami tidak lama. Jam 3 pagi, sudah ada suara makcik yang mengejutkan semua orang yang berada di situ supaya bangun berqiamullail. Hati mula berkata, ' Alaa makcik, kami baru je tidur. Lepas-lepas ni la kami bangun. Bla bla bla..' Lampu dibuka, taktik untuk mengganggu tidur. Mak cik yang baik itu terus sahaja mengejut semua orang yang masih tidak bangun-bangun termasuk kami. Tidak lama, lampu ditutup semula. Qiamullail sudah mahu bermula. Kedengaran adik kecil yang comel berkata kepada sahabat, " Akak, lampu dah tutup la, seronok ni tidur.." Nak tergelak mendengarkannya. 

Tapi, sungguh saya kagum dengan makcik tersebut. Beliau sabar sahaja mengejutkan semua orang, lembut pula tuturnya, 'Sayang, bangun sayang. Orang dah nak solat dah ni.'  Lebih kurang 45 minit selepas itu, bangunlah kami dari pembaringan. Rugi pula kalau tak bangun, tambah segan dengan diri sendiri. Ya lah, semalam bukan main semangat nak berdakwah, bila orang kejut bangun qiamullail, liat pula nak bangun. Alhamdulillah, di pagi hari itu dapat mendengarkan suara Ustaz Zulkarnain Oasis yang suara merdu tu berzikir dan bermuhasabah bersama. Beliau jugalah yang menjadi imam. Dan rupa-rupanya bukan saja-saja makcik tadi suruh bangun berQiamullail, tetapi itu adalah salah satu program yang dianjurkan oleh IKIM kalau tak silap saya, sambungan dari program mereka yang semalamnya. Alhamdulillah, Allah mengizinkan kami bersama. 

Usai solat Subuh, kami menyambung tidur yang tidak cukup kuota tadi. Bangun-bangun, mendengar sahabat berceloteh. Dan tergelak bila sahabat bercerita perihal soalan adik kecil yang comel tadi, tanyanya, " Akak, makcik tu cikgu akak ke?" -adik itu merujuk kepada makcik yang sabar tadi- Mungkin kerana di fikiran adik itu makcik itu tak tumpah persis seorang cikgu yang tak jemu-jemu mengejutkan anak muridnya, dan kami pula anak-anak muridnya yang degil dan liat untuk bangun.

31/12/2012 - 1/1/2013 mencatatkan sejarah dalam hidup saya. Selain bersejarah kerana setahun saya melepak di luar, ianya bersejarah kerana ianya amat bermakna.

Kata orang, pengalaman mematangkan kita. Moga pengalaman ini menjadi salah satu proses yang mematangkan diri saya. :)

No comments: