Wednesday, July 10, 2013

Memori Ramadhan Dulu-Dulu

Ahlein ya Ramadhan.

Berpagi hari menghirup udara 1 Ramadhan.
Masuknya Ramadhan kali ni dah 21 kali Ramadhan , dan nafas masih sempat bertemu dengan bulan mulia  ni. Juga menandakan ini sudah kali kelima belas saya berpuasa.

Kalau diingat kembali seawal saya umur tujuh tahun dah dilatih berpuasa oleh umi abah.
Dulu kecik-kecik puasa 'yok yok' tak apa lagi. Umi pesan kalau puasa separuh hari pun tak apa dah. Kalau tak tahan buka je.

Tapi syukur, saya jenis budak yang kental. Hihi. Nak juga puasa sampai putus nafas! Eh, over. Dan alkisahnya umur tujuh tahun dah mampu puasa penuh. Naik umur lapan tahun dan seterusnya pun Alhamdulillah puasa penuh. Tapi tak pernah minta upah atau ganjaran dari umi abah. :) I guess.

Dulu kecik-kecik kalau puasa Umi selalu buat kuih atau puding untuk berbuka. Boleh kata hampir tiap hari. Kuih onde-onde, puding gula hangus, puding buah. Lazatnya. Oke, tarik air liur balik. Dan sumpah itulah yang menjadikan Ramadhan waktu kecik-kecik best. Ye lah, nak harapkan budak sekolah rendah hayati betul-betul bulan Ramadhan dari segi ganjaran pahala, solat terawih bla bla bla memang tak lah kan.

Bila hampir masuk waktu berbuka semua dah bersila mengadap makanan. Yang besar-besar boleh makan kat meja makan, yang kecil-kecik ni kena bersila kat bawah. Boleh kata tak pernah berpeluang berbuka di meja. Adik lah katakan.

Dulu dalam lepas Asar selalu ada siaran Mari Mengaji dalam pukul lima petang. Lepas tu pukul enam ada yang pasal sirah nabi tu, Jejak Rasul. Bila baik, melekat lah kat depan tv tu dari pukul lima, belajar mengaji sekali. Paling suka tengok yang Jejak Rasul tu. Dah jadi tabiat suka sangat baca dan dengar cerita-cerita pasal nabi-nabi waktu kecil. Dijadikan cerita, dulu kecil-kecil kami ada jilid buku kanak-kanak tentang pelbagai sirah zaman rasul. Habis saya rembat masuk bilik dan khatamkan semua. Even ada satu buku yang dah koyak rabak pun saya jaga dan usahakan untuk baca walaupun tulisan dia rapat-rapat dan kecil-kecil.

Sakit mata, tapi keazaman yang tinggi mengalahkan segala hasutan syaitan. Mesti syaitan menangis melolong-lolong tengok saya mengadap buku-buku tu dulu. ~.~

Sesekali ikut terbuai mimpi depan tv sampai nak masuk Maghrib. Waktu ni memang aman sikit, abang-abang lesap tak tahu ke mana. Jadi tv tu aku yang punya!

Masa kecik jarang sekali ikut pergi terawih. Atau mungkin tak pernah. Try nak recall mana-mana memori terawih tapi tak boleh nak tembus memori kepala. Cari cari tak jumpa. Nampak sangat tak pernah ada memori pasal terawih. Waktu kecik bab solat memang liat. Allah.

Waktu sahur, dengan malasnya bangun bila dikejut. Bangun-bangun makanan dah siap. Masa kecik, tolong umi kat dapur memang tak pernah! Berbuka pun tak, sahur apa lagi ! Penatnya umi melayan kerenah sembilan orang ahli rumah.

Time sahur berpeluang besar makan di meja, sebab abang-abang semua liat nak bangun. Selagi tak kena bebel panjang, tak kena simbah air dengan umi selagi tu lah mereka tak bangun. Bila semua bangun semua layu, nak tak nak je makan. Semua mata hampir-hampir nak tertutup balik. Mata saya je buntang besar. Sebab abang-abang selalu cakap,

"Luas la mata, macam hantu."

Saya sampai ke hari ni tak faham al-sebab mereka cakap macam tu. Agaknya abang-abang baru termimpikan hantu dan bila bangun tengok pulak mata si adik yang macam burung hantu, kecutlah perut mereka. Ha ha. Tapi nak buat macam mana, dah semula jadi mata bulat dan besar. Eh, ni orang yang cakap.

Lepas sahur, semua sambung tidur balik. Dari yang sulung sampai ke bongsu. Biasa abang-abang akan sambung tidur kat ruang tamu. Kami yang perempuan masuk bilik balik. Jarang-jarang sekali abang keempat join kami sekaki. Tidur sekali. Waktu kecik-kecik memang rapat dengan abang keempat tu, Anih.

Bila bangun untuk Subuh, atau bangun lepas Subuh tengok-tengok semua bertukar posisi. Yang tengah kat tepi, yang tepi kanan dah masuk ke tengah , yang tepi kiri pergi ke kanan. Hebat sekali semua beraksi dalam tidur.

Malam-malam pula main bunga api, itupun kalau ada stok. Itu paling power lah orang kata, untuk perempuan. Abang-abang lagi hebat menunjukkan keganasan, main mercun atau bedil orang Kelantan panggil. Pum pang pum pang sana sini. Nak tunjuk hero lagi, tu ha berlawan membedil rumah orang dengan anak jiran. Aku bedil rumah kau, kau bedil rumah aku.

Sesekali terliur nak main bedil. Tapi abang-abang bagi yang stok bedil bawang tu je. Itu pun dah kecut perut. Sekali abang buat jahat dia lempar mercun bawang tu kat kaki, larilah si adik ketakutan. Padahal apa lah sangat sakitnya tu.

Bila tiba malam Ramadhan terakhir sebelum masuknya satu Syawal, rutin semua orang pergi ke rumah Pak Long kat depan rumah. Itu memang rutin tahunan masa kecik-kecik. Bukan nak beraya, tapi nak main bunga api. Memang meriah lah. Lagi meriah bila yang lelaki pasang mercun roket. Dah macam roket betul. Dan semua macam eksaited bila mercun tu meletup kat udara.



Memori Ramadhan dulu-dulu, nilainya lebih kepada keseronokan untuk bergembira. Tapi itu jugalah yang membina diri hingga ke hari ini.

Rindunya nak berkumpul ramai-ramai cukup semua ahli keluarga, tapi sekarang semua dah jauh-jauh. Seorang di Jordan, lima di bumi Selangor, dan kat rumah hanya berempat.

Tapi apapun Alhamdulillah, Ramadhan kali ini julung-julung kalinya diberi peluang oleh Allah untuk berpuasa penuh di rumah, selepas lapan tahun asyik berbuka di asrama dan negeri orang.

Ahlein ya Ramadhan. Jangan lupa persiapkan diri dengan target-target baru ibadah untuk Ramadhan kali ini.

:)

No comments: