Friday, June 15, 2012

Perginya Sebutir Permata Islam



Kelahiran

Sekitar zaman sebelum dan selepas Perang Dunia ke-2, Kampung Dewan, Labok yang terletak dalam jajahan Machang hanyalah sebuah kampung biasa yang tidak jauh bezanya dengan kampung-kampung Melayu di Kelantan. Pada ketika itu, penduduk kampung merupakan petani tradisional dan hanya sejumlah kecil sahaja terlibat dalam aktiviti perniagaan.Di Kampung Dewan inilah bertemunya Hj. Uthman b.Mat Kib dan Hjh. Halimah bt. Seman yang mana merupakan sepasang petani kecil yang menyara hidup mereka dengan hasil pertanian. Sepasang suami isteri yang hidupnya serba sederhana itu memiliki dua orang anak. Pada tanggal 22 September 1939, mereka dikurniakan seorang lagi putera iaitu Yahya.Yahya bin Uthman dilahirkan di kampung berkenaan merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik yang kesemuanya adalah lelaki.Sejarah tentang bagaimana namanya diperolehi ialah ketika ayahnya pergi ke Mekah untuk menunaikan haji. Ketika di sana, ayah beliau telah berjumpa dengan seorang alim ulama yang bernama Hj. Yahya Banggol. Ulama tersebut juga berasal dari Kelantan dan berkhidmat dengan mengajar ilmu agama di sana. Beliau adalah seorang yang suka membantu orang yang kesusahan dan dermawan. Justeru, Hj Uthman telah menanam hasrat untuk menamakan anak bongsunya nanti dengan nama Yahya kerana tertarik dengan keperibadian ulama tersebut.Akhirnya anak bongsunya itu diberi nama Yahya sempena nama ulama berkenaan.Yahya lahir dan membesar dalam zaman serba kekurangan, meleset serta sarat dengan cabaran.Tambahan pula ketika Perang Dunia kedua tercetus dengan pendaratan Jepun di Kota Bharu dan penjajahan kuasa Negara Matahari Terbit itu ke atas Malaya. Memang sukar hendak dibayangkan betapa kalutnya kemelut yang melanda. Walau bagaimanapun ianya tidak menghalang kedua ibubapa itu daripada terus menyalakan lampu masa hadapan bagi anak-anak mereka khususnya bagi si bongsu.


Pendidikan

Ketika usia Yahya menjangkau tujuh tahun,beliau telah dihantar masuk ke Sekolah Melayu Labok bagi mendapatkan pendidikan awal. Namun,pembelajarannya di sekolah itu hanya mengambil masa selama dua tahun setengah sahaja. Ini disebabkan beliau telah dihantar oleh orang tuanya ke Tanah Suci Mekah untuk menimba ilmu di sana pada tahun 1947. Di Mekah, beliau tinggal bersama ibu saudaranya dari sebelah ibu. Tetapi selepas empat tahun kemudian ketika umur menjangkau 12 tahun, beliau terpaksa berpindah mencari kediaman sendiri, menyara hidupnya sendiri dan berusaha apa sahaja demi meneruskan pengajiannya di Darul Ulum al-Diniyah. Kehidupan di sana menyedihkan kerana beliau sentiasa berada di dalam kelaparan.Meskipun demikian, Yahya tidak membuang masa malah tidak melepaskan kesempatan untuk samasama menelaah pelajaran di Masjidil Haram. Beliau banyak menelaah kitab-kitab besar dengan ulamaulama Arab dan Indonesia yang mengajar di situ khususnya dalam ilmu Hadith, Mustolah Hadith dan Tafsir.Sebagai seorang pencinta sastera dan bahasa,Ustaz Yahya Uthman juga merebut peluang untuk mempelajari Bahasa dan Kesusasteraan Arab daripada guru-guru yang datang daripada Mesir dan Indonesia. Maka tidak hairanlah beliau mampu memahami dan menguasai syair mahupun prosa Arab tradisional dan moden. Antara karya-karya yang telah dikuasai oleh beliau ialah karya-karya Taha Hussien, Mustafa Rifaie, al-Manfaluti dan sebagainya. Lantas sangatlah wajar disenaraikan guru-guru beliau di sana antaranya ialah Sheikh Hasan Masyak, Sheikh al-Maliki, Sheikh Amin Qutubi, Sheikh Abdul Kadir dan guru yang paling beliau kagumi dan sanjungi ialah Sheikh Yasin Padani yang berasal dari Padang Indonesia yang telah banyak mendidik dan menyayangi beliau.Pada tahun 1958, Yahya menamatkan pengajiannya di Darul Ulum ad-Diniyah, Mekah.Selanjutnya pada tahun 1960, beliau berjaya melanjutkan pelajarannya di Universiti al-Azhar. Di sana beliau mengikuti pengajian Syariah wal-Qanun.Ustaz Yahya Uthman begitu gigih dalam menuntut ilmu. Hal ini kerana pelajar yang datang dari Tanah Melayu hanya gemar memilih jurusan Syariah kerana pengajiaanya boleh ditamatkan dalam tempoh empat tahun. Tetapi pengajian beliau dalam jurusan Syariah wal-Qanun mesti ditamatkan dalam tempoh lima tahun. Tetapi itu tidak sedikit pun membuat diri beliau gentar dengan cabaran tersebut.Beliau sangat yakin bahawa melalui pengajian yang dipilihnya itu beliau akan beroleh banyak kesempatan untuk mendalami ilmu undang-undang perbandingan,ekonomi politik, hubungan antarabangsa dan sebagainya.Pencapaiannya di Universiti al-Azhar sangat memberansangkan. Dengan kesungguhan beliau dalam pengajiannya, maka wajarlah beliau naik ke tahun dua di universiti tersebut. Bermula dengan detik kejayaan itu, Kerajaan Negeri Kelantan mula menghulurkan biasiswa sebanyak RM250 sebulan bagi menanggung kos pengajian beliau di sana.Beliau menerima biasiswa ini sehingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah wal-Qanun pada tahun 1966.Ibarat orang berkata, kerinduan yang teramat ialah kerinduan kepada tanahair dan keluarga apabila kita berjauhan. Perasaan ini juga bergelumang di dalam diri Ustaz Yahya Uthman dan beliau mengalaminya. Setelah beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda, beliau pulang ke tanahair buat pertama kali setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki di bumi bertuah tanah tumpah darahnya. Beliau bersama keluarganya hanya selama tiga bulan sahaja dan kemudiannya kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti al-Azhar. Pengajian beliau mengambil masa selama empat tahun dan akhirnya berjaya menggondol ijazah Sarjana dalam bidang Politik Islam.Setelah beliau menamatkan pengajian di Darul Ulum ad-Diniyah pada tahun 1958 di Mekah, beliau telah memasang niat yang besar di dalam dirinya iaitu ingin mengembara. Hal ini kerana beliau ialah seorang pencinta ilmu yang arif tentang liku-liku cabaran dan riwayat hidup para ulama silam yang berdakwah dalam mencari dan menyebarkan ilmu dengan mengembara.Ustaz Yahya Uthman memulakan langkah pertamanya dengan penuh kental menuju ke Damsyik iaitu ibukota Syria. Walaupun hanya tiga bulan beliau berada di sana, peluang yang ada dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau sentiasa berada dan beriktikaf di dalam masjid, mendalami kitabkitab,menghadiri ceramah-ceramah agama termasuklah mengikuti program ceramah oleh Dr.Mustafa as-Syiba’i iaitu ketua kepada pertubuhan pergerakan Ikhwanul Muslimin di Syria pada ketika itu. Sebenarnya tujuan utama beliau mengembara ke sana ialah untuk mengikuti ceramah-ceramah yang disampaikan oleh ketua Ikhwanul Muslimin tersebut dan bergerak rapat mengikutinya sebagai sebuah harakah Islamiah.12 Kecintaanya kepada ilmu menyebabkan beliau sanggup mengembara ke Baghdad, Iraq. Di sana beliau mengisi masa-masa beliau dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Antaranya beliau sempat menadah kitabJami’ al-Imam Abu Hanifah di Masjid Abdul Kadir Jailany. 

Bakat Kepimpinan

Bakat dan ciri-ciri beliau di dalam kepimpinan jelas terserlah sejak zaman persekolahannya lagi.Hal ini dapat dibuktikan

dalam usia yang muda lagi beliau telah dihantar oleh orang tuanya ke Mekah dan kehidupannya di sana penuh dengan cabaran dan kesusahan hidup sehingga memaksa beliau hidup berdikari dalam usia yang mentah yang tidak tahu menghadapi cabarancabaran hidup di dunia.Kepimpinan Ustaz Yahya Uthman mula terserlah ketika beliau baru berusia 15 tahun.Hal ini kerana pada usia tersebut beliau sudahdiberi kepercayaan untuk menduduki barisan Jawatankuasa Belia Negeri Kelantan di Mekah.Di dalam persatuan ini, beliau dilantik sebagai Penolong Setiauasaha badan tersebut.Kesibukan beliau dalam organisasi tidak menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran. Beliau digelar ulat buku kerana ketekunan dan minat yang mendalam beliau terhadap buku.Tanpa buku-buku ilmiah disisi, hidup beliau dirasakan begitu sepi dan sunyi. Oleh yang demikian, beliau sanggup membelanjakan wang saku yang dihantar oleh ibubapanya semata-mata untuk membeli buku.Beliau sanggup menahan lapar dan dahaga demi untuk memiliki sesebuah buku dan sekiranya beliau tidak mampu, beliau akan meminjam buku-buku yang dikehendaki dengan rakan-rakan, di perpustakaan mahupun dengan guru-guru beliau.Di atas kesungguhan dan minat mendalam itu, beliau telah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai

pustakawan untuk melancarkan proses peminjaman buku, menghasilkan buletin serta menyebarkannya.Minat yang mendalam beliau dalam pembacaan semakin terserlah ketika beliau menuntut di Universiti al-Azhar.Ketika itu beliau menetap di Kampung Melayu Abidin yang mana kampung atau kawasan kediaman tersebut didiami oleh pelajar-pelajar yang berasal dari Malaysia. Kawasan kampung tersebut begitu hampir dengan dengan perpustakaan terbesar di Mesir iaitu Darul Qutub al-Masyriah. Hal ini membolehkan dan memudahkan beliau untuk mengunjungi perpustakaan tersebut untuk menelaah dan mencari serta meminjam buku-buku ilmiah yang beliau perlukan.Sebagaimana ketika pengajian beliau di Mekah, di Kaherah juga beliau tidak mengabaikan kegiatan sosialnya.Justeru kepimpinan yang baik,

beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan di dalam Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Mesir pada tahun 1961, Setiausaha Biro Pendidikan pada tahun 1962. Dan pada tahun 1963,beliau telah diberi kepercayaan untuk menjadi wakil pelajar Malaysia dalam Kelab Pelajar Asing Antarabangsa.Dengan perlantikan-perlantikan tersebut beliau telah menjaga kebajikan dan keperluan-keperluan berkaitan dengan pengajian pelajar-pelajar Malaysia disamping pelajar-pelajar dari negara lain juga tidak diabaikan.


************
Hilangnya seorang murabbi, walaupun tak pernah mendapat tarbiah langsung darinya tapi seakan turut memberi kesan pada hati yang kasihkan ulama'.

Cuma sekali pernah mendengar ucapan beliau, ketika di Konvensyen Tarbiah Anak Muda Kelantan 2011. Seorang guru yang sudah kelihatan uzur sambil memegang tongkat setianya, tapi masih tetap bersemangat memberikan kata semangat pada jiwa-jiwa anak muda di hadapannya.

Ucapan yang amat memberikan kesan, seakan lahir tulus dari hati.

Moga pemergiannya bisa diganti dengan 1000 lagi jiwa anak muda yang berjiwa kental untuk terus memartabatkan Islam!

Pemergianmu tiada gantinya. Pemergianmu juga ditangisi. Tapi ini bukan bermakna perjuangan kita tamat kerana hilangnya sebutir permata.

No comments: